Showing posts with label Education. Show all posts
Showing posts with label Education. Show all posts

Saturday, May 9, 2020

KISAH CIKGU MUSIM PKP (BERSIRI) : KISAH 1


13 Mac 2020. Hari Jumaat.

Hari ini merupakan hari terakhir persekolahan sebelum Cuti Pertengahan Penggal selama seminggu. Cikgu Suraya sangat teruja. Tambahan pula hari ini jadual kelasnya tidak padat. Hanya mengajar 1 kelas iaitu kelas Sains Tingkatan 1. Lega rasanya. Bagi cikgu, jadual kelas yang tidak padat pada hari hari tertentu memang melegakan apabila tidak perlu tergesa gesa naik turun tangga dari satu kelas ke kelas yang lain.

Selepas mengajar di kelas 1 Melur pada pukul 12 tengahari, Cikgu Suraya pergi ke kantin. Di kantin cikgu Suraya melihat ada beberapa buah kereta ibubapa yang telah tiba menunggu untuk mengambil anak-anak pulang dari asrama. Biasanya, ibubapa tidak dibenarkan masuk sebelum pukul 2 petang. Tapi mungkin ini ibubapa yang datang dari jauh. Seperti perasaan cikgu Suraya yang teruja untuk bercuti, begitulah juga perasaan ibubapa yang telah lama tidak berjumpa anak mereka. Getus hati Cikgu Suraya. 

Di kantin, Cikgu Suraya berjumpa dengan Cikgu Ari dan Cikgu Siti. Tanpa berlengah, Cikgu Suraya turut bersama mereka untuk makan tengahari bersama. Ketika makan, mereka berbual bual mengenai isu Covid 19 yang melanda negara.

"Kes semakin hari makin meningkatkan"

"Yelah, ada kluster tabligh. Kluster baru tu. Bayangkan yang pergi perhimpunan tabligh tu 3000 orang. Semua kena panggil untuk buat saringan"

"Takutnya dengar. Ni nak balik kampung naik flight ni pun takut. Rasanya terpaksa cancellah. Takpalah naik kereta. Tapi rasa selamat. Kalau naik flight takutnya jumpa ramai orang di KLIA nanti"

"Ha, betul juga. Tak apalah terpaksa 'burn' tiket tu. Yang penting keselamatan"

Cikgu Ari cuba meluahkan rasa kegusaran. Pada cikgu Ari, keputusan untuk membatalkan tiket kapal terbangnya dan anaknya untuk pulang ke kampung adalah keputusan yang tepat demi keselamatan mereka. Bertambah yakin, keputusan ini juga turut disokong oleh Cikgu Suraya dan Cikgu Siti.

Setelah selesai menikmati makanan di kantin, ketiga tiga cikgu ini kembali ke bilik guru. Sudah hampir jam 1 petang, Cikgu Suraya mula mengemas mejanya untuk ditinggalkan selama seminggu. 
.
"Nak bawa balik buku kerja atau tak nak ya?" bisik hati Cikgu Suraya.

Tak apalah. Cuti sekolah seminggu sahaja. Nak balik kampung pula. Rasanya tak sempat nak buka buku nanti"

Cikgu Suraya membuat keputusan. Sudah lama dia tidak pulang kampung. Ketika waktu persekolahan pula, cikgu Suraya sibuk dengan latihan bola jaring untuk pertandingan peringkat negeri. Memang jadual cikgu Suraya amat padat pada bulan 1 dan bulan 2 ni. Jadi pada cuti sekolah ni, cikgu Suraya bercadang untuk memberi perhatian kepada keluarga berbanding kerja.

Tepat pukul 2.30 petang, hati Cikgu Suraya semakin keriangan. Dia terus bersalam salam dengan cikgu-cikgu lain di bilik rindu sebagai tanda perpisahan 'sementara' selama seminggu. Apabila dia ke pejabat, dia terserempak dengan Pengetua yang sedang menghitung masa untuk berpencen.

"Jumpa lagi ya Puan. Selamat Bercuti". Sapa Cikgu Suraya kepada puan pengetua.

Selepas selesai semuanya, cikgu Suraya terus menuju ke kereta. Sempena hari terakhir persekolahan pada semester pertama, cikgu Suraya pulang awal dari kebiasaan pukul 4. Tak sabar rasanya nak mengambil anaknya dari tadika. Tak sabar nak meluangkan masa bersama keluarga. Hati cikgu Suraya keriangan tanpa menyedari ada cerita yang berbeza pada cuti kali ini....

Cerita yang tidak disangka sangka. Cerita yang tak pernah terfikir akan berlaku sepanjang perkhidmatannya sebagai cikgu. Cerita yang akan menjadi sejarah kepada dunia pendidikan di Malaysia.......

Wednesday, May 6, 2020

KENAPA PELAJAR PENDIDIKAN SAINS KENA BELAJAR DI DUA FAKULTI?


Jika anda seorang pelajar jurusan pendidikan sains di Universiti Awam seperi UKM, UM, UTM atau USM, biasanya sewaktu kuliah kita akan belajar di dua fakulti. Jika dulu saya belajar di UKM, jadi disebabkan saya pelajar jurusan Pendidikan Fizik, maka saya perlu belajar di dua fakulti iaitu Fakulti Sains dan Teknologi (FST) dan Fakulti Pendidikan (FP). Begitu juga kalau di universiti yang lain, akan belajar di fakulti sains dan fakulti pendidikan. 

Saya ingat lagi, untuk belajar di dua fakulti ni memenatkan jika jadual kuliah adalah berturutan. Tambahan kalau di UKM, Fakulti Pendidikan dan Fakulti Sains dan Teknologi ni bukannya bersebelahan. Bagi yang ada berkenderaan, mudah. Bila selesai sahaja kuliah di FP, boleh terus bawa kereta atau motor ke FST. Yang tiada kenderaan, terpaksalah menunggu bas. Kadang-kadang tunggu lama pun bas tak sampai lagi. Alternatifnya, terpaksalah berjalan kaki. 

Tapi, kenapa kalau pelajar pendidikan sains ni kena belajar sampai di dua fakulti?

Ini kerana untuk melayakkan seseorang menjadi guru, terdapat dua jenis pengetahuan yang perlu dikuasai oleh pelajar. Yang pertama adalah  Pedagogical Knowledge dan yang kedua adalah Content Knowledge. Kedua dua ni kita namakan sebagai Pedagogical Content Knowledge (PCK). Pengetahuan-pengetahuan inilah yang perlu dimiliki oleh seorang 'bakal guru' sebelum dia menjadi seorang 'guru' di sekolah.

Jadi, apa itu Pedagogical Knowledge?

Pedagogical Knowledge ini adalah ilmu-ilmu mengenai pedagogi iaitu ilmu-ilmu mengenai pengajaran. Ilmu-ilmu ini perlu dipelajari oleh bakal guru supaya pengajaran guru menjadi lebih efektif. Atau kata yang lebih ringkas, ilmu untuk belajar cara mengajar supaya pengajaran guru memberi kefahaman kepada murid dan menarik minat murid untuk belajar. Sebab itu sebenarnya bukan senang-senang je nak mengajar. Perlu ada ilmu. Untuk membekalkan bakal guru dengan pedagogical knowledge, biasanya pelajar akan belajar mengenai teori-teori pendidikan, kaedah pengajaran dan psikologi pendidikan. Sebab itu, ilmu-ilmu ini akan dipelajari di Fakulti Pendidikan sebab di Fakulti Pendidikan pensyarah-pensyarah adalah lebih pakar mengenai ilmu-ilmu ini.

Kemudian, apa pula Content Knowledge?

Jika pedagogical knowledge tadi adalah ilmu ilmu untuk pengajaran, content knowledge pula adalah ilmu-ilmu mengenai isi kandungan pengajaran. Contohnya, seperti saya yang dulu mengambil jurusan pendidikan Fizik. Jadi saya merupakan bakal guru Fizik yang akan mengajar Fizik di sekolah. Untuk mengajar Fizik di sekolah, saya mestilah mempunyai ilmu-ilmu Fizik. Ilmu ilmu Fizik ni contohnya seperti konsep-konsep Fizik, eksperimen fizik, teori-teori fizik. Oleh kerana ilmu-ilmu ini pakar-pakarnya adalah pensyarah-pensyarah Fizik di Fakulti Sains, disebabkan itulah pelajar pendidikan sains perlu belajar di dua fakulti iaitu Fakulti Pendidikan dan Fakulti Sains.
.
Tapi ada lagi!
.
Apabila suda memasuka era Revolusi Industri yang ke 4, ada lagi satu pengetahuan yang perlu dikuasai oleh bakal guru iaitu Technological Knowledge. Ketiga tiga pengetahuan ini, dikenali sebagai Technological Pedagogy Content Knowledge (TPACK). Nampak? Tak mudahkan untuk jadi cikgu. Sebab tu tak semua orang boleh jadi cikgu dan tak semua orang dilahirkan untuk jadi cikgu.

Hargailah guru anda!.




Sunday, May 3, 2020

Jenis Pembelajaran Dalam Talian (Online Learning)


Musim PKP ini menyaksikan guru-guru dan murid-murid 'terpaksa' menjalani pembelajaran dalam talian (online learning) berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikeluarkan oleh kerajaan bermula pada 18 Mac 2020 yang lalu. Hebatnya guru di Malaysia ini, seawal PKP diperintahkan, guru-guru dengan pantas mencari pelbagai alternatif untuk memastikan pembelajaran tetap diteruskan. 


Sekiranya ada guru yang jarang berteknologi, pada masa kini mereka 'memaksa' diri untuk belajar.  Pelbagai usaha dilakukan untuk terus belajar dan mengajar seperti menghadiri kelas online, belajar dari rakan sekolah dan PLC bersama guru-guru dari sekolah yang berbeza. Jelas, usaha ini tidak ternilai harganya. Memang terbaik guru-guru di Malaysia!!

Oleh kerana pada ketika ini, pembelajaran dalam talian menjadi pilihan semua rakan guru, jadi saya ingin kongsikan jenis pembelajaran dalam talian yang kita gunakan sebagai pilihan.

1. PEMBELAJARAN SEGERAK (SYNCHRONOUS LEARNING)

Pembelajaran jenis ini memerlukan guru mengajar dan murid belajar pada masa yang sama. Guru dan murid saling berkomunikasi dan berinteraksi pada masa yang sama. Contohnya seperti video conference. Guru mengajar di hadapan laptop dan pada masa yang sama murid dirumah turut belajar dihadapan laptop ataupun gadjetnya. Pelbagai platform pembelajaran dalam talian yang dapat digunakan bagi menjalankan pembelajaran jenis ini. Contohnya, jika menggunakan Microsoft Teams, fungsi 'meet now' akan diguanakan bagi menjalankan pembelajaran segerak. Fungsi-fungsi yang disediakan pada platform pembelajaran seperti 'share screen' dan 'share whiteboard' membantu guru untuk menjalankan pembelajaran jenis ini.

Antara kelebihan pembelajaran segerak dalam pengajaran dan pembelajaran adalah :

Interaksi antara guru-murid, murid-murid dan murid-isi kandungan dapat dijalankan pada masa yang sama. Ini dapat meningkatkan tahap interaksi dalam pembelajaran online. Respon murid boleh diketahui pada masa yang sama dan murid dapat berbincang dan berkolaborasi bersama guru dan murid sewaktu pembelajaran. 

Menarik bukan? Namun jenis pembelajaran ini juga mempunyai kekurangannya. Antaranya ialah :

Murid dan guru akan terikat dengan jadual pembelajaran. Terutama pada ketika musim PKP ini, kebanyakan ibubapa yang bekerja perlu bekerja dari rumah (WFH). Pada masa yang sama, anak-anak juga perlukan laptop untuk belajar. Jadi sekiranya dijalankan pembelajaran jenis ini, terdapat murid-murid yang tidak dapat mengikuti kelas secara online akibat pertindihan jadual antara adik beradik dan ibu bapa. Namun, sekiranya murid-murid kita adalah dari kalangan keluarga yang mampu menyediakan laptop untuk anak-anak, jenis pembelajaran ini amat menarik untuk dipraktiskan.Selain itu, untuk menjalankan pembelajaran jenis ini, isu teknikal seperti 'line' yang terputus putus. dan keluar dari 'meeting room' secara tiba tiba antara isu yang perlu dihadapi guru dan murid. Ini memang biasa terjadi kan!

2. PEMBELAJARAN TIDAK SEGERAK (ASYNCHRONOUS LEARNING)

Berbeza dengan pembelajaran segerak, pembelajaran jenis ini merupakan pembelajaran yang tidak berlaku secara serentak. Contohnya seperti, guru memberikan murid tugasan dalam talian melalui platform seperti telegram, whatsapp, Microsoft Teams. Tugasan ini perlu diselesaikan dan dihantar oleh murid pada tempoh  yang ditetapkan. Sekiranya murid menghadapi kesukaran terhadap tugasan yang diberikan, murid akan bertanya kepada guru melalui pelbagai platform pada bila-bila masa. Kadang-kadang, perbincangan juga dilakukan dengan bersoal jawab di dalam group telegram atau group whatsapp. Pada musim PKP ini, sekumpulan guru dari cikgooTube telah mewujudkan channel You Tube sendiri bagi menyediakan bahan pembelajaran kepada murid. Melalui pembelajaran jenis ini, murid boleh melayari channel-channel You Tube guru mereka, bagi membolehkan pembelajaran terus berlaku. Murid dapat mengakses You Tube guru-guru pada masa kelapangan mereka dan dapat juga bersoal jawab dengan guru melalui whatsapp atau telegram kelas. 

Seperti pembelajaran segerak, pembelajaran tidak segerak turut mempunyai kelebihan. Antaranya ialah :

Masa pembelajaran yang lebih fleksibel apabila murid dan guru tidak terikat pada jadual pembelajaran. Kekangan-kekangan yang dihadapi pada musim PKP ini memungkinkan jadual pembelajaran yang lebih fleksibel diperlukan murid bagi memastikan murid tetap belajar. Selain itu, pembelajaran jenis ini juga dapat mengurangkan stress dikalangan ibu bapa yang 'terpaksa' menguruskan anak-anak dan juga bekerja pada masa yang sama. Jika pembelajaran jenis ini dijalankan, ibu bapa boleh menyesuaikan jadual waktu pembelajaran anak dan jadual bekerja bagi memantau pembelajaran anak di rumah. 

Tetapi, pembelajaran jenis ini juga punyai kekurangan. Antaranya ialah :

Oleh kerana pembelajaran jenis ini tidak berlaku pada masa yang sama, maka ini memungkinkan terdapat murid yang berasa 'terpisah' dari guru dan rakan dalam pembelajaran. Ada yang ingin bertanya soalan, tapi malu. Ada yang sudah bertanya soalan, tapi mendapat respon yang lambat dari guru dan rakan. Perkara-perkara ini menyebabkan pembelajaran jenis ini umpama mengasingkan murid untuk berinteraksi dengan aktif di dalam 'chat room'

3. PEMBELAJARAN CAMPURAN (BLENDED ONLINE LEARNING)

Pembelajaran jenis ini melibatkan campuran antara pembelajaran segerak dan pembelajaran tidak segerak. Sebagai contoh, guru mengadakan video conference. Kemudian disusuli dengan tugasan yang dibincangkan melalui platform whatsapp atau telegram. Pembelajaran ini membolehkan guru berinteraksi dengan murid pada masa yang sama dan disusuli dengan pembelajaran yang tidak berlaku pada masa yang sama. Pembelajaran jenis nampak lebih menarik bukan?

Apa pun jenis pembelajaran yang ada, pemilihan jenis pembelajaran perlulah mengambil kira faktor murid. Murid di bandar tidak sama seperti murid di kampung. Akses internet dibandar adalah lebih pantas berbanding dengan akses internet di kampung. Begitu juga murid di sekolah elit tidak sama dengan murid di sekolah biasa. Murid di sekolah elit mungkin kebanyakannya memiliki laptop atau gadjet lengkap dengan internet untuk menjalankan pembelajaran dalam talian. Manakala murid di sekolah biasa, mungkin ada yang perlu berkongsi laptop dengan adik beradaik yang lain bagi meneruskan pembelajaran. Kenali anak murid kita, kemudia kita buat pilihan jenis pembelajaran apa yang sesuai di gunakan.



Saturday, May 2, 2020

PKP : Bengkel Dalam Talian Syoknya Teroka Ilmu Dirumah Dari Pusat STEM Negara

Minggu ini telah masuk minggu kedua diadakan Bengkel Dalam Talian Syoknya Teroka Ilmu Dirumah anjuran Pusat STEM Negara. Bengkel bengkel ini dikendalikan oleh Jurulatih Utama (JU) Pusat STEM Negara yang terdiri dari guru-guru yang berpengalaman dalam bidang STEM.
.
Sepanjang minggu pertama diadakan, bengkel-bengkel ini telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan. Komen-komen yang positif diterima bagi menyatakan sokongan terhadap bengkel-bengkel yang diadakan.

Menariknya, pada akhir bengkel ini, murid -murid boleh mencuba aktiviti yang ditunjukkan sewaktu bengkel dirumah, merakam dan menghantarnya ke Pusat STEM Negara. Video yang terbaik akan diberikan hadiah misteri dari Pusat STEM Negara. Mmm..bestnya!

Pada minggu ini, sebanyak 6 bengkel lagi akan dijalankan bermula Isnin, 4 Mei 2020 jam 10 pagi. Jadual pada setiap bengkel tertera pada setiap poster. Jangan lepaskan peluang untuk menyertai bengkel ini! 











Friday, May 1, 2020

PKP : GARIS PANDUAN PEMBUKAAN SEKTOR PENDIDIKAN

Sempena Hari Pekerja, 1 Mei 2020, Perdana Menteri Tans Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan garis panduan yang perlu dipatuhi bagi pembukaan perkihmatan. Tak terkecuali sektor pendidikan. Berdasarkan garis panduan ini, terdapat beberapa larangan yang perlu dipatuhi jika sekolah dibuka nanti.
.
1. Aktiviti bersukan tidak dibenarkan semasa sesi persekolahan. Ini bermakna tiada Pendidikan Jasmani, tiada perkhemahan, tiada sukan tahunan sekolah pada tahun ini bagi sekolah yang belum buat lagi (macam sekolah saya). 

2. Aktiviti kokurikulum bersemuka juga dilarang. Maka, perjumpaan kelab dan persatuan  tiada pada tahun ini. 

3. Perhimpunan sekolah juga tidak boleh dijalankan. Oleh itu, pihak pentadbiran sekolah perlu merangka kaedah untuk menyampaikan pesanan kepada murid tanpa perlu berhimpun. 

4. Sebarang bentuk majlis ataupun program. Tiada program tambahan kepada murid. 

Berdasarkan garis panduan ini, digambarkan murid ke sekolah hanya untuk belajar tanpa sebarang aktiviti, program dan perhimpunan. Murid yang dibenarkan kesekolah pula hanyalah murid tingkatan 5 dan tingkatan 6. Langkah ini dilakukan bagi memastikan penjarakan sosial berlaku disekolah. Langkah-langkah kebersihan juga perlu ditekankan oleh pihak sekolah dengan cara membekalkan hand sanitizer dan memastikan murid menjaga kebersihan. 

Yang pasti, ini adalah norma baru dalam sistem pendidikan di Malaysia. Tidak mudah untuk melaksanakan. Tapi sekurangnya jika garis panduan ini dipatuhi, kita dapat mengurangkan risiko jangkitan wabak ini di kalangan anak anak kita. 

Bila tarikh pembukaan sekolah? Masih belum diputuskan lagi. Menurut Dato Dr Noor Hisham, isu ini akan dilihat dalam tempoh 4 minggu lagi. Makluman rasmi mengenai pembukaan sekolah belum diumumkan lagi.