Sunday, May 3, 2020

Jenis Pembelajaran Dalam Talian (Online Learning)


Musim PKP ini menyaksikan guru-guru dan murid-murid 'terpaksa' menjalani pembelajaran dalam talian (online learning) berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikeluarkan oleh kerajaan bermula pada 18 Mac 2020 yang lalu. Hebatnya guru di Malaysia ini, seawal PKP diperintahkan, guru-guru dengan pantas mencari pelbagai alternatif untuk memastikan pembelajaran tetap diteruskan. 


Sekiranya ada guru yang jarang berteknologi, pada masa kini mereka 'memaksa' diri untuk belajar.  Pelbagai usaha dilakukan untuk terus belajar dan mengajar seperti menghadiri kelas online, belajar dari rakan sekolah dan PLC bersama guru-guru dari sekolah yang berbeza. Jelas, usaha ini tidak ternilai harganya. Memang terbaik guru-guru di Malaysia!!

Oleh kerana pada ketika ini, pembelajaran dalam talian menjadi pilihan semua rakan guru, jadi saya ingin kongsikan jenis pembelajaran dalam talian yang kita gunakan sebagai pilihan.

1. PEMBELAJARAN SEGERAK (SYNCHRONOUS LEARNING)

Pembelajaran jenis ini memerlukan guru mengajar dan murid belajar pada masa yang sama. Guru dan murid saling berkomunikasi dan berinteraksi pada masa yang sama. Contohnya seperti video conference. Guru mengajar di hadapan laptop dan pada masa yang sama murid dirumah turut belajar dihadapan laptop ataupun gadjetnya. Pelbagai platform pembelajaran dalam talian yang dapat digunakan bagi menjalankan pembelajaran jenis ini. Contohnya, jika menggunakan Microsoft Teams, fungsi 'meet now' akan diguanakan bagi menjalankan pembelajaran segerak. Fungsi-fungsi yang disediakan pada platform pembelajaran seperti 'share screen' dan 'share whiteboard' membantu guru untuk menjalankan pembelajaran jenis ini.

Antara kelebihan pembelajaran segerak dalam pengajaran dan pembelajaran adalah :

Interaksi antara guru-murid, murid-murid dan murid-isi kandungan dapat dijalankan pada masa yang sama. Ini dapat meningkatkan tahap interaksi dalam pembelajaran online. Respon murid boleh diketahui pada masa yang sama dan murid dapat berbincang dan berkolaborasi bersama guru dan murid sewaktu pembelajaran. 

Menarik bukan? Namun jenis pembelajaran ini juga mempunyai kekurangannya. Antaranya ialah :

Murid dan guru akan terikat dengan jadual pembelajaran. Terutama pada ketika musim PKP ini, kebanyakan ibubapa yang bekerja perlu bekerja dari rumah (WFH). Pada masa yang sama, anak-anak juga perlukan laptop untuk belajar. Jadi sekiranya dijalankan pembelajaran jenis ini, terdapat murid-murid yang tidak dapat mengikuti kelas secara online akibat pertindihan jadual antara adik beradik dan ibu bapa. Namun, sekiranya murid-murid kita adalah dari kalangan keluarga yang mampu menyediakan laptop untuk anak-anak, jenis pembelajaran ini amat menarik untuk dipraktiskan.Selain itu, untuk menjalankan pembelajaran jenis ini, isu teknikal seperti 'line' yang terputus putus. dan keluar dari 'meeting room' secara tiba tiba antara isu yang perlu dihadapi guru dan murid. Ini memang biasa terjadi kan!

2. PEMBELAJARAN TIDAK SEGERAK (ASYNCHRONOUS LEARNING)

Berbeza dengan pembelajaran segerak, pembelajaran jenis ini merupakan pembelajaran yang tidak berlaku secara serentak. Contohnya seperti, guru memberikan murid tugasan dalam talian melalui platform seperti telegram, whatsapp, Microsoft Teams. Tugasan ini perlu diselesaikan dan dihantar oleh murid pada tempoh  yang ditetapkan. Sekiranya murid menghadapi kesukaran terhadap tugasan yang diberikan, murid akan bertanya kepada guru melalui pelbagai platform pada bila-bila masa. Kadang-kadang, perbincangan juga dilakukan dengan bersoal jawab di dalam group telegram atau group whatsapp. Pada musim PKP ini, sekumpulan guru dari cikgooTube telah mewujudkan channel You Tube sendiri bagi menyediakan bahan pembelajaran kepada murid. Melalui pembelajaran jenis ini, murid boleh melayari channel-channel You Tube guru mereka, bagi membolehkan pembelajaran terus berlaku. Murid dapat mengakses You Tube guru-guru pada masa kelapangan mereka dan dapat juga bersoal jawab dengan guru melalui whatsapp atau telegram kelas. 

Seperti pembelajaran segerak, pembelajaran tidak segerak turut mempunyai kelebihan. Antaranya ialah :

Masa pembelajaran yang lebih fleksibel apabila murid dan guru tidak terikat pada jadual pembelajaran. Kekangan-kekangan yang dihadapi pada musim PKP ini memungkinkan jadual pembelajaran yang lebih fleksibel diperlukan murid bagi memastikan murid tetap belajar. Selain itu, pembelajaran jenis ini juga dapat mengurangkan stress dikalangan ibu bapa yang 'terpaksa' menguruskan anak-anak dan juga bekerja pada masa yang sama. Jika pembelajaran jenis ini dijalankan, ibu bapa boleh menyesuaikan jadual waktu pembelajaran anak dan jadual bekerja bagi memantau pembelajaran anak di rumah. 

Tetapi, pembelajaran jenis ini juga punyai kekurangan. Antaranya ialah :

Oleh kerana pembelajaran jenis ini tidak berlaku pada masa yang sama, maka ini memungkinkan terdapat murid yang berasa 'terpisah' dari guru dan rakan dalam pembelajaran. Ada yang ingin bertanya soalan, tapi malu. Ada yang sudah bertanya soalan, tapi mendapat respon yang lambat dari guru dan rakan. Perkara-perkara ini menyebabkan pembelajaran jenis ini umpama mengasingkan murid untuk berinteraksi dengan aktif di dalam 'chat room'

3. PEMBELAJARAN CAMPURAN (BLENDED ONLINE LEARNING)

Pembelajaran jenis ini melibatkan campuran antara pembelajaran segerak dan pembelajaran tidak segerak. Sebagai contoh, guru mengadakan video conference. Kemudian disusuli dengan tugasan yang dibincangkan melalui platform whatsapp atau telegram. Pembelajaran ini membolehkan guru berinteraksi dengan murid pada masa yang sama dan disusuli dengan pembelajaran yang tidak berlaku pada masa yang sama. Pembelajaran jenis nampak lebih menarik bukan?

Apa pun jenis pembelajaran yang ada, pemilihan jenis pembelajaran perlulah mengambil kira faktor murid. Murid di bandar tidak sama seperti murid di kampung. Akses internet dibandar adalah lebih pantas berbanding dengan akses internet di kampung. Begitu juga murid di sekolah elit tidak sama dengan murid di sekolah biasa. Murid di sekolah elit mungkin kebanyakannya memiliki laptop atau gadjet lengkap dengan internet untuk menjalankan pembelajaran dalam talian. Manakala murid di sekolah biasa, mungkin ada yang perlu berkongsi laptop dengan adik beradaik yang lain bagi meneruskan pembelajaran. Kenali anak murid kita, kemudia kita buat pilihan jenis pembelajaran apa yang sesuai di gunakan.



No comments: