Saturday, May 9, 2020

KISAH CIKGU MUSIM PKP (BERSIRI) : KISAH 1


13 Mac 2020. Hari Jumaat.

Hari ini merupakan hari terakhir persekolahan sebelum Cuti Pertengahan Penggal selama seminggu. Cikgu Suraya sangat teruja. Tambahan pula hari ini jadual kelasnya tidak padat. Hanya mengajar 1 kelas iaitu kelas Sains Tingkatan 1. Lega rasanya. Bagi cikgu, jadual kelas yang tidak padat pada hari hari tertentu memang melegakan apabila tidak perlu tergesa gesa naik turun tangga dari satu kelas ke kelas yang lain.

Selepas mengajar di kelas 1 Melur pada pukul 12 tengahari, Cikgu Suraya pergi ke kantin. Di kantin cikgu Suraya melihat ada beberapa buah kereta ibubapa yang telah tiba menunggu untuk mengambil anak-anak pulang dari asrama. Biasanya, ibubapa tidak dibenarkan masuk sebelum pukul 2 petang. Tapi mungkin ini ibubapa yang datang dari jauh. Seperti perasaan cikgu Suraya yang teruja untuk bercuti, begitulah juga perasaan ibubapa yang telah lama tidak berjumpa anak mereka. Getus hati Cikgu Suraya. 

Di kantin, Cikgu Suraya berjumpa dengan Cikgu Ari dan Cikgu Siti. Tanpa berlengah, Cikgu Suraya turut bersama mereka untuk makan tengahari bersama. Ketika makan, mereka berbual bual mengenai isu Covid 19 yang melanda negara.

"Kes semakin hari makin meningkatkan"

"Yelah, ada kluster tabligh. Kluster baru tu. Bayangkan yang pergi perhimpunan tabligh tu 3000 orang. Semua kena panggil untuk buat saringan"

"Takutnya dengar. Ni nak balik kampung naik flight ni pun takut. Rasanya terpaksa cancellah. Takpalah naik kereta. Tapi rasa selamat. Kalau naik flight takutnya jumpa ramai orang di KLIA nanti"

"Ha, betul juga. Tak apalah terpaksa 'burn' tiket tu. Yang penting keselamatan"

Cikgu Ari cuba meluahkan rasa kegusaran. Pada cikgu Ari, keputusan untuk membatalkan tiket kapal terbangnya dan anaknya untuk pulang ke kampung adalah keputusan yang tepat demi keselamatan mereka. Bertambah yakin, keputusan ini juga turut disokong oleh Cikgu Suraya dan Cikgu Siti.

Setelah selesai menikmati makanan di kantin, ketiga tiga cikgu ini kembali ke bilik guru. Sudah hampir jam 1 petang, Cikgu Suraya mula mengemas mejanya untuk ditinggalkan selama seminggu. 
.
"Nak bawa balik buku kerja atau tak nak ya?" bisik hati Cikgu Suraya.

Tak apalah. Cuti sekolah seminggu sahaja. Nak balik kampung pula. Rasanya tak sempat nak buka buku nanti"

Cikgu Suraya membuat keputusan. Sudah lama dia tidak pulang kampung. Ketika waktu persekolahan pula, cikgu Suraya sibuk dengan latihan bola jaring untuk pertandingan peringkat negeri. Memang jadual cikgu Suraya amat padat pada bulan 1 dan bulan 2 ni. Jadi pada cuti sekolah ni, cikgu Suraya bercadang untuk memberi perhatian kepada keluarga berbanding kerja.

Tepat pukul 2.30 petang, hati Cikgu Suraya semakin keriangan. Dia terus bersalam salam dengan cikgu-cikgu lain di bilik rindu sebagai tanda perpisahan 'sementara' selama seminggu. Apabila dia ke pejabat, dia terserempak dengan Pengetua yang sedang menghitung masa untuk berpencen.

"Jumpa lagi ya Puan. Selamat Bercuti". Sapa Cikgu Suraya kepada puan pengetua.

Selepas selesai semuanya, cikgu Suraya terus menuju ke kereta. Sempena hari terakhir persekolahan pada semester pertama, cikgu Suraya pulang awal dari kebiasaan pukul 4. Tak sabar rasanya nak mengambil anaknya dari tadika. Tak sabar nak meluangkan masa bersama keluarga. Hati cikgu Suraya keriangan tanpa menyedari ada cerita yang berbeza pada cuti kali ini....

Cerita yang tidak disangka sangka. Cerita yang tak pernah terfikir akan berlaku sepanjang perkhidmatannya sebagai cikgu. Cerita yang akan menjadi sejarah kepada dunia pendidikan di Malaysia.......

No comments: